Friday 19 April 2013

SEPUCUK SURAT BUAT SAHABAT

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Sahabat,

Maafkan aku andai surat ini mengganggu ketenteraman jiwamu.Aku hanya ingin mengambil masamu seketika.Maaf sekiranya ada perlakuanku yang mengguris hatimu.Aku tidak pernah terlintas untuk menyakitimu.

Sahabatku,

Selama ini kau melihat diriku tabah,sentiasa tersenyum pabila bersamamu.Aku tidak mampu untuk berkongsi kisah dukaku denganmu.Aku tidak mahu senyuman yang sentiasa terukir di bibirmu hilang akibat kisah dukaku.

Sahabat,

Maafkan ku,selama ini aku banyak membandingkan dirimu dan diriku.
Astaghfirullah..

Aku terlalu fokus akan kesulitan yang aku hadapi sehingga tidak sedar akan nikmat yang diberi-NYA.Aku hanya kongsikan 20% kisah sedihku padamu.Bagiku biarlah dugaan ini aku hadapi sendirian..
Astaghfirullah,sama-samalah kita bersyukur dengan nikmat-NYA.

Sahabat,

Ketahuilah olehmu,aku dah melalui jalan hitam yang cukup panjang.Berkali-kali aku jatuh,bahkan hingga aku lari dan hampir berputus asa dengan Tuhan!Tapi Tuhan sayangkanku,Dia masih sudi membimbingku kepadaNya walaupun aku sering salahkan Dia di atas takdir yang Dia berikan padaku.

Kau tahu bagaimana aku tahu yang Dia sayangkanku?Melalui ujian dan musibah yang Dia berikan kepadaku.Semakin aku jauh dariNYA semakin aku lalai,alpa dan leka dengan permainan dunia.Semakin kuat dugaan dan musibah yang Dia berikan kepadaku.Bahkan,banyak pula permintaanku yang dibiarkanNYA tergantung begitu saja.

Aku sedih.Aku hampir putus asa sahabatku.Senyum di wajah hanyalah sekadar lakonan.

Sahabat,

Aku mula mencari asbab dan punca terjadinya musibah itu.Kenapa aku?Kenapa tidak orang lain?Sudahlah dilahirkan dalam keadaan yang berantakan,ditimpa pula tangga bukan setakat sekali tapi berkali-kali!Oh,peritnya hidup ini wahai sahabat!

Namun aku mula sedar tentang hakikat yang sebenarnya sahabatku,hanya bila aku mula mendekati Dia..

Sahabatku,

Aku tertanya-tanya,apabila aku sedih,apakah ubatnya?Apabila aku sengsara apakah ubatnya?Apabila hidupku susah apakah ubatnya?Apabila aku sakit dikhianati oleh manusia dimana ubatnya?Di mana??

Kau tahu apa ubatnya sahabatku?Tak perlu mencari jawapannya sehingga hujung dunia kerana ianya ada pada diri kita..Jawapannya kerana aku sering lupakan Dia.Aku lupa akan suruhanNya.

Astaghfirullah.Aku malas hendak bangun solat subuh tetapi aku senang pula menghabiskan masa menonton cerita hingga lewat malam.Aku lebih banyak menghafal lirik lagu picisan K-pop and english berbanding ayat al-Quran mahupun hadis.Aku belajar kerana mahukan pengiktirafan manusia bukan bagi memenuhi tuntutan fardhu kifayah.

Pendek kata,aku berkata-kata tidak seperti layaknya seorang muslim,aku berkelakuan tidak seperti layaknya seorang muslim dan paling sedih pabila aku sedar selama ini aku tidak benar-benar hidup sebagai seorang muslim..walau hakikatnya aku sebenarnya seorang muslim:'(

Sahabat,

Sekali lagi aku minta maaf darimu kerana aku tidak mampu membimbingmu secara langsung.Namun doaku kudus buatmu,andainya apa yang telah diberikan olehNya kepadaku adalah hidayah,maka itulah jua doaku buatmu.Moga Dia memberikan hidayah yang sama juga buatmu,bahkan lebih baik dariku agar kau pula yang membimbingku nanti.Sahabat,kiranya aku diizinkan masuk Syurga,aku juga mahu dirimu untuk turut serta denganku:)

Sahabat,

Apakah ada sahabatmu yang lain mendoakanmu sepertiku?

Sahabatku,

Adakah kau tahu tujuanku mengarang surat ini?Aku menulis kerana aku mahu memberitahu dirimu bahawa aku sebenarnya melihat sesuatu yang serupa pada dirimu dan diriku.Aku melihat Allah begitu sayangkan dirimu,sahabatku!Kau juga diberi dugaan dan musibahNya.
Dia sedang menghulurkan tangan untuk memberimu kehidupan yang lebih baik.

Kau tahu apa itu kehidupan lebih baik?Itulah kehidupan syurga,wahai sahabat:)Dia mahu memberikan kau sebuah syurga.Apakah kau tidak mahu menerima hadiah itu sahabatku?Jika benar,sombong benar dirimu dengan Tuhan.Apakah kau sedar setiap kali kau lelapkan matamu setiap malam,bila-bila masa sahaja Dia boleh untuk tidak lagi mengembalikan nyawamu ke tubuhmu semula?Atau,barangkali nafasmu akan habis setibanya engkau pada penghujung ayat ini?

Astaghfirullah.

Sahabat,

Aku tahu aku bukanlah ustazah yang mempunyai kelulusan agama daripada universiti Mesir atau Jordan.Jauh sekali.Aku hanyalah manusia kerdil yang masih terkapai-kapai mencari mardhatillah.Dalam waktu itu,aku sering kalah dengan tuntutan nafsu sendiri.Kerana itu,aku tidak mampu untuk membimbingmu.Jiwaku masih terlalu rapuh.  Aku risau sekali sahabatku, aku takut jika peristiwa lampau menguasaiku semula hingga aku hilang pertimbangan. Aku takut jika perbuatanku membuat aku masuk neraka kerana menyakitimu, atau perbuatanku membuatkan kau menyakitiku hingga kau masuk neraka. Wana 'uzubillah. 

Sahabat,

Maafkan aku.Ana uhibbuki fillah.Aku pergi juga kerana Allah.

Sahabatku,

Usahlah membuang masa menangisi kehidupan dunia yang tidak seberapa ini.Percayalah,kehidupan yang selalu kita kejar-kejar ini,tidak akan berguna sesen pun setelah kita meninggal dunia nanti.Sebaliknya,tangisilah kehidupan abadi dan sempurna di syurga nanti,bayangkan,bayangkanlah,jika kita terlepas peluang untuk mendapatkannya!Menangislah kerana itu wahai sahabat kesayanganku!

Kami berfirman lagi: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita." (Surah Al-Baqarah: 38)

Seandainya suatu hari nanti hatimu telah merasa tenang dan kau telah dapat melihat dengan mata hati mu dan kemudian kau merasa rindu kepadaku,aku mahu kau ingat pesanku ini,bahawa aku sentiasa di sini untuk menerima dirimu..andai saja kau telah bersedia menerima hadiah dariNya..

Wassalam

Yang selalu merinduimu dalam doa,
Nazurah

credit to Cik Beah Osem ^^

No comments:

Post a Comment